Budak Maut Kena Renjatan Bervoltan Tinggi

SHAH ALAM: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20 di sini, maut dipercayai terkena renjatan elektrik dari tiang lampu ketika bermain di padang permainan berhampiran rumahnya di Taman Batu Tiga, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Naqiuddin Mohd Marzuki, 11, bermain bola bersama sekumpulan rakannya di situ selepas hujan lebat kira-kira jam 6 petang.
Mangsa dipercayai terkena lebih empat kilovolt arus elektrik daripada kabel elektrik yang dicantumkan pada satu tiang elektrik di situ yang dipercayai mengalami kebocoran.
Bapanya, Mohd Marzuki Muda, 44, berkata beliau berada di rumah ketika kejadian apabila rakan anaknya bergegas memaklumkan anaknya tertiarap tidak sedarkan diri di padang berkenaan.
Setiba di situ, katanya, beliau mendapati anaknya tertiarap dengan muka gelap seakan terbakar tersembam dan sebelah kakinya terkena tiang lampu berkenaan.

“Saya dapat menarik badan Muhammad Naqiuddin sebelum mengejarkannya ke Pusat Perubatan Selangor (SMC) jam 7 petang. Doktor yang merawatnya cuba memberi bantuan pernafasan kira-kira sejam tetapi nyawanya gagal diselamatkan.

“Jenazahnya kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di PPUM, semalam.
Jenazah Muhammad Naqiuddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telaga Nibong, Jerteh, Terengganu, petang semalam.

Mohd Marzuki membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Pinggiran Subang, Subang Jaya, petang semalam.

Sementara itu, saksi yang juga jiran mangsa, Razali Abdullah, berkata beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas Mohd Marzuki memintanya melihat keadaan anaknya yang terkena renjatan elektrik.

“Ayah mangsa datang dalam keadaan panik dan tergesa-gesa mengajak saya untuk melihat anaknya yang rebah di padang akibat terkena renjatan elektrik. Saya mengambil kayu dan cuba menolak kaki kanan mangsa yang terlekat pada tiang itu sebelum mendukungnya. Semua jarinya kejang.

“Ini kejadian kedua selepas seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa renjatan elektrik tahun lalu. Mangsa ketika itu terselamat kerana hari kejadian tidak hujan. Aduan mengenai masalah itu sudah diajukan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tetapi ti-ada maklum balas,” katanya.

Rakan mangsa, Mohd Salman Shahmi, 11, berkata ketika kejadian, Muhammad Naqiuddin tiba-tiba berhenti bermain bola dan meninggalkan mereka untuk pulang.

“Seorang daripada rakan kami menegurnya supaya jangan berlari sebelum melihat dia tergelincir kerana padang licin dan berlopak. Kami mendengar dia menjerit kesakitan dan selepas itu suaranya tidak lagi kedengaran,” katanya yang menyifatkan mangsa sebagai rakan yang baik, ramah dan aktif bersukan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu dan memberitahu hasil laporan bedah siasat mendapati Muhammad Naqiuddin meninggal dunia disebabkan terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu laporan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kini masih menyiasat punca kejadian.

0 comments:

Post a Comment